- Baiklah, ini cerita Kakak...
Rumah kakak ada mempunyai sistem pemanas rumah yang menggunakan radiator dan juga tempat bara api untuk memanaskan rumah bila musim sejuk. Kerana Kakak tinggal berdua sahaja dengan suami (anak-anak semua sudah ada rumah sendiri) tidak payah menggunakan sistem pemanas untuk memanaskan satu rumah, jadi kami lebih selalu menggunakan tempat bara api di ruang tamu. Dan juga jimat sikit minyak yang digunakan untuk alat pemanas itu (ada rumah menggunakan gas atau elektrik tapi kami menggunakan minyak).
Tempat api kami bukan yang terbuka seperti yang selalu kita lihat dalam filem-filem barat. Tempat api kami bergelar "Log-burner" atau tempat bakar kayu, bersih sikit and kurang habuk dari abu yang keluar dari tempat bakar itu (lihat gambar yang Kakak lampirkan). Oleh kerana rumah kami dikelilingi hutan simpanan, suami Kakak kalau dia rajin di hujung minggu akan naik basikalnya dan pergi mencari kayu. Kayu-kayu di hutan peliharaan boleh diambil jika ia berada di atas tanah. Tidak dibenarkan memotong dahan yang masih di pokok atau menebang pokok-pokok yang ada. Selalu, Kakak akan jerit ‘nak cari kayu…nak cari kayu’ bila dengar bunyi enjin basikal dihidupkan. Suami Kakak akan ketawa kerana sudah dijelaskan mengenai frasa lucu ini dari filem Melayu lama.
Sepatutnya, sekarang ini musim bunga, suhu sudah mula panas sedikit tetapi kalau terlihat ramalan cuaca di UK baru-baru ini, masih di antara 2-9 darjah Celsius. Sepatutnya sekarang di antara 12-19 darjah Celsius dan beberapa hari lalu pada waktu malam, jatuh ke bawah suhu -3 darjah Celsius!!! Jadi kami masih menggunakan tempat bakar kayu yang selalunya pada bulan April Kakak sudah bersihkan dan tidak digunakan sampai musim sejuk datang lagi.
Apa yang terjadi dua minggu yang lalu, sedang kami duduk menonton televisyen, terdengar semacam bunyi atau suara sedang merayu… huuuuu-uuuuu...uuuuu… Sungguh sayu tapi jelas. Kakak dan suami berpandangan satu sama lain dan cuba mendengar lagi. Bunyi atau suara itu hilang. Tidak lama kemudian, berbunyi lagi. Suami kata mungkin bunyi angin di luar, kebetulan memang malam itu hujan turun. Kami pun buat tak endah sahaja dan teruskan menonton. Bunyi atau suara itu semakin kedengaran lagi dan sah dari dalam rumah.
Jadi Kakak perlahankan bunyi suara televisyen untuk mendengar lagi dan mencari dari mana datangnya bunyi itu. Rupa-rupanya, bunyi atau suara yang kedengaran itu datang dari tempat bakar kayu. Kakak buka tempat pembakar itu dan menyusun semula kayu-kayu di dalamnya dengan harapan jangan berbunyi lagi. Beberapa ketika, berbunyi lagi. Kakak rasa tidak sedap – nak kata seram tidak tapi merinding. Kami tinggal di sini sudah bertahun-tahun dan membakar kayu sudah bertahun-tahun, inilah kali pertama bunyi seakan suara rayuan kedengaran semasa membakar kayu.
Biasalah, orang-orang Barat selalunya tidak percaya kepada hantu, jadi suami cuma berkata tidak ada apa-apa. Kakak bertanya jadi cuba terangkan mengenai bunyi yang kedengaran, dia cuma kata mungkin jenis kayu atau kayu basah. Pokok-pokok di hutan simpanan ini semuanya ada beberapa jenis dan sama jenisnya merata-rata. Nak kata kayu basah, dah berapa kali kami bakar kayu basah. Akhirnya, Kakak tidak puas hati dan terus bertanya lagi, di mana suami Kakak mengambil kayu kali ini. Suami menjawab, di hutan simpanan kecil selepas padang tanaman di belakang rumah kerana hutan yang selalu dia ambil kayu sudah tidak ada lagi di atas tanah, dilarang potong pokok atau dahan dan dia malas untuk pergi ke tempat yang lain. Dan inilah kali pertama, dia mengambil kayu di tempat ini.
Ada kemungkinan, wallahu'alam bissawab, bunyi atau suara rayuan yang kami dengar datang dari kayu pokok di mana seorang kanak-kanak berumur 15 tahun menggantungkan diri pada tahun 21 March 2005 kerana dibuli di sekolahnya. Baru tadi Kakak pergi ke tempat itu untuk petik gambar pokok berkenaan buat anda lihat. Selalu ada bunga-bunga yang diletak di bawah pokok atau diikat pada pokok yang mungkin diletak oleh ahli keluarga si mati. Kayu-kayu yang diambil di tempat yang sama, Kakak sudah bakar di luar rumah bila suami pergi kerja dan Kakak suruh suami berjanji jangan ambil kayu di tempat itu lagi…